Sunday, February 17, 2008

Adakah kita muslim yang istiqamah dalam ibadah harian?


Ustaz Zainudin Hashim


Tazkirah Ramadhan Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus (Siratol Mustaqim), iaitu jalan yang lurus tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan Allah SWT
Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah, kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah, tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang muslim.
Istiqamah atau boleh juga disebut makna yang hampir dengannya iaitu iltizam (komited) dengan Islam yang membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta.
Dengan kata lain, istiqamah itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia.
Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beristiqamah dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat tanpa terikat kepada musim tertentu, sebagai contoh, seorang muslim yang beristiqamah tidak menunggu untuk ke rumah pada bulan Ramadan, malah setiap bulan itu adalah bulan yang dikhususkan untuknya beribadat kepada Allah.
Begitu juga dengan amal ibadat di bulan Ramadan, bukan hanya pada awalnya saf-saf solat dipenuhi dengan para jemaah, tetapi pada pertengahan dan penghujung Ramadan sepi dengan orang yang sama memenuhi ruang-ruang masjid atau surau sebelum dan selepas Ramadan, yang tidak beristiqamah akan merasa gelisah dengan Ramadan lambat untuk melabuhkan tirainya, sikap seumpama ini tidak pernah wujud dalam diri para sahabat baginda Rasulullah s.a.w.
Semakin hampir menjelang Aidil Fitri, semakin gelisah dan jelas tergambar di raut wajah mereka kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan mereka, peluang untuk memperolehi bonus amalan di malam-malam terakhir yang terdapat padanya Lailatul Qadr sudah sampai ke penghujungnya, terdapat di antara mereka yang menangis kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya.
Peluang yang ada pada malam-malam terakhir Ramadan, diisi dengan aktiviti pengabdian diri kepada Allah SWT seperti Qiyamullail meliputi pelbagai jenis solat, tadarus al-Quran meliputi diskusi isi-isi kandungannya, beriktikaf, berzikir dan bermacam-macam lagi tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai manusia biasa di siang hari.
Persoalannya di sini, di mana diri kita dengan para sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka telah buktikan istiqamah yang mantap dan menyeluruh bagi meraih keredaan, kita pula bagaimana?
Tanda atau bukti istiqamah
*Bukti istiqamah itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An’am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”.
*Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku”.
*Selain itu, istiqamah juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka”.
Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beristiqamah dengan amalan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam.
Penjelasan tanda beistiqamah dengan Islam
Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa, istiqamah itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin.
Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain.
Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beristiqamah dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi.
Justeru menurut para ulama’, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.
Jalan terbaik untuk mengekalkan istiqamah dengan Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : “
Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas”.
Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.

Tafsir Al-Maidah ayat 73-75: Orang Kristian, Yahudi tidak upaya berhujah

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika sekiranya mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka perkatakan.” (Surah al-Maidah: 73)
Jika sekiranya mereka tidak berhenti mendakwa kononnya Allah itu satu daripada tiga unsur dan Isa al-Masih juga sebagai tuhan.
Allah berfirman yang bermaksud, “nescaya mesti akan mengenai akan orang-orang kafir di kalangan mereka, azab yang pedih.” (Surah al-Maidah: 73)
Yang kafir di kalangan mereka mesti mengenai azab yang pedih. Mereka diberi amaran yang keras setelah diberi nasihat.
Memang orang Kristian dan Yahudi degil dalam masalah akidah. Apabila diajak berbincang mereka lari dan mereka tidak berani berdebat dalam masalah ketuhanan. Cuma mereka masuk ke kawasan pedalaman menyebarkan dakyah Kristian yang mana ramai di kalangan penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada orang jahil, miskin dan orang asli. Mereka boleh berbohong kepada masyarakat seumpama itu.
Sebaliknya mereka tidak boleh berhujah dan berdepan dengan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan. Mereka lari dan tidak berani berdepan dengan orang ramai di kawasan berkenaan. Banyak bukti dan keterangan menunjukkan bahawa mereka tidak berani berdepan dengan kebenaran.
Perkara ini berlaku termasuk di negara mereka sendiri iaitu England dan Amerika Syarikat. Paderi-paderi mereka tidak berani berhujah dengan orang Islam. Memang mereka tidak betul dalam perkara ini.
Bahkan orang Nasrani Najran yang berhujah dengan Nabi s.a.w. tidak berupaya berhujah. Apabila mereka diajak bermubahalah supaya Allah Taala menurunkan laknat ke atas siapa yang bohong. Bagaimanapun mereka menolak pelawaan itu. Bererti mereka sedar bahawa mereka tergolong di kalangan orang yang tidak benar.
Firman Allah yang bermaksud; “Apakah mereka itu tidak bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Maidah: 74)
Mengapa mereka tidak mengambil peluang daripada pintu taubat yang dibuka seluas-luasnya? Mereka tidak mengambil peluang daripada keampunan dan kemurahan Allah dengan mereka bertaubat, dengan memohon supaya Allah mengampunkan dosa mereka. Mengapa mereka degil dalam kekufuran itu?
Allah Taala bertanya kepada mereka dan ayat al-Quran dibacakan kepada mereka. Ada di kalangan mereka yang faham bahasa al-Quran kerana ada yang berbangsa Arab.
Ada juga Orientalis yang mengerti bahasa dan makna isi kandungan al-Quran. Apabila diajak masuk Islam mereka menolaknya kerana mereka mendakwa bahawa Allah Taala telah cap (tutupkan) hati mereka.
Ini adalah antara perangai orang Krisitian. Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, “Tiadalah al-Masih Ibnu Mariam itu melainkan dia seorang rasul yang diutuskan oleh Allah. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya rasul-rasul yang lain.”(Surah al-Maidah: 75)
Isa bin Mariam adalah seorang rasul sebagaimana rasul-rasul yang lain yang telah diwahyukan oleh Allah.
Semua rasul tidak mengaku menjadi tuhan termasuk Nabi Isa a.s. Jika seorang rasul itu tuhan maka rasul lain pun menjadi tuhan juga. Tetapi semua rasul mengakui bahawa mereka adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Begitu juga al-Masih Isa bin Mariam.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan ibunya adalah seorang yang membenarkan Allah.” (Surah al-Maidah: 75)
Ibunya Mariam percayakan Allah dan janji-janji-Nya serta kurnia daripada-Nya termasuk berita yang akan datang. Dia beriman kepada-Nya.
Sehingga Mariam mengandung Nabi Isa dalam keadaan menghadapi ujian yang sangat dahsyat kerana mengandung tanpa suami.
Allah berjanji dan dia percaya kepada janji Allah. Dia tidak membunuh diri. Dia tidak memohon supaya dimatikan agar tidak menghadapi ujian yang dahsyat itu.
Mariam tetap bersabar menghadapi ujian itu. Mariam a.s. adalah seorang yang membenarkan Allah dan beriman kepada-Nya.

Kisah Dari Tanah Suci: Mendengar suara ghaib membaca al-Quran di sisi Kaabah

Abdul Wahab Muhammad
Ahmad dapat menunaikan haji selepas bertahun-tahun bersusah payah menabung dalam Tabung Haji. Sewaktu di Makkah, sedang Ahmad beribadat di depan Kaabah, tiba-tiba dia mendengar suara orang membaca kitab suci al-Quran, dengan suara merdu di situ
Ahmad tercengang kerana ada suara sedangkan pembacanya tidak kelihatan. Dia berfikir, mungkin yang membaca itu malaikat suruhan dan utusan Allah untuk memberkati Baitullah dan Masjidilharam.
Selepas tamat musim haji, Ahmad menuju ke kota suci Madinah al-Munawwarah bersama-sama jemaah haji sekumpulan dengannya.
Di Masjid Nabawi dia berpeluang bersolat fardu berjemaah, solat sunat, berzikir dan berdoa, untuk kesejahteraan hidupnya di dunia dan di akhirat. Ahmad suka bersedekah kepada orang yang memerlukannya.
Pada suatu malam, kira-kira jam 11.00, sedang dia beribadat di dalam Masjid Nabawi, tiba-tiba datang seorang lelaki Arab kacak dengan wajahnya bersih nian, memberikan isyarat jari telunjuk kepada Ahmad.
Lantas Ahmad terlintas di dalam hati untuk memberikan sedekah kepada Arab tadi. Tiada wang kecil dalam koceknya, kecuali sekeping wang kertas 100 Rial (kira-kira RM100).
Tanpa berfikir, terus saja diberikannya kepada Arab tadi. Apabila dia menoleh ke belakang, lelaki Arab tadi telah ghaib daripada pandangannya.
Mungkinkah lelaki Arab itu malaikat Allah, yang berpura-pura memohon sedekah, untuk menguji ketulusan dan kemurahan hati seorang hamba Allah, apakah dia bersyukur atau kufur dengan segala limpah rezeki dan nikmat-Nya, demikian fikir Ahmad. - lanh