Wednesday, September 17, 2008

PEPERANGAN BADAR AL-KUBRA:


Faktor Pendorong:



Setelah kita sebutkan mengenai Ghazwah al-Asyirah di mana
Kabilah Quraisy dapat melepaskan diri dari sekatan Rasulullah, semasa
pemergiannya dari Makkah ke negeri al-Syam, bila hampir masa kepulangannya dari
sana ke Makkah, Rasulullah telah mengutus Talhah bin Abdullah dan Said bin Zaid
ke sebelah utara, bertugas mengintip dan memperolehi maklumat terperinci
mengenai hal tersebut, mereka bergerak hingga ke daerah al-Hawra', mereka di
sana hinggalah Abu Sufian dan Kafilahnya berlalu, mereka pun segera pulang ke
Madinah melaporkan perkembangan kepada Rasulullah.




Kafilah Abu Sufian itu sarat dengan harta dan barangan penduduk Makkah, terdiri dari seribu ekor unta penuh dengan muatan dan harta benda, dianggarkan tidak kurang dari lima puluh ribu dinar emas, pengawal hanya empat puluh orang sahaja. Inilah peluang keemasan yang harus diambil kesempatan untuk tentera Madinah, dan pukulan tepat pada sasaran ketenteraan, politik dan ekonomi terhadap musyrikin sekiranya semua harta ini dapat dirampas dari tangan mereka. Dengan itu Rasulullah mengisytiharkan kepada kaum muslimin dengan sabdanya yang bermaksud: "Ini dia kafilah Quraisy yang penuh dengan harta mereka, ayuh keluarlah kamu semoga Allah menjadikannya sebagai harta rampasan untuk kamu."
Baginda tidak menggesa sesiapa pun untuk keluar. Baginda hanya membiarkan perkara ini terbuka secara mutlak, kerana Baginda tidak pula menyangka akan bertarung dengan tentera Makkah, sehebat apa yang terjadi di medan Badar itu. Justeru itu, maka sebahagian besar dari sahabat berada di Makkah, dan mereka mengira Rasulullah keluar itu tidak lebih dari Sariyah-Sariyah yang lepas, maka sebab itulah Rasulullah tidak membantah terhadap mereka yang tidak turut bersama.





KADAR KEKUATAN TENTERA ISLAM DAN PENGAGIHAN PIMPINAN




Kini Rasulullah dalam keadaan bersedia untuk keluar bersama-sama dengan tiga ratus tiga belas orang (313 atau 314 atau 317 orang) 82 Muhajirin (83 atau 86 orang) al-Aws seramai 61 orang dan 170 orang al-Khazraj, mereka tidaklah begitu bersiap sangat dan tidaklah membawa peralatan yang selengkapnya, tunggangan mereka hanya dua ekor kuda, kuda al-Zubair bin al-Awwam dan kuda al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, manakala unta bersama mereka hanya tujuh puluh ekor yang ditunggang secara bergilir untuk dua atau tiga orang, Rasulullah bergilir dengan Ali dan Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi dengan seekor unta. Rasulullah melantik Ibnu Ummi Maktum sebagai khalifahnya untuk mengendali urusan Madinah dan solat. Tetapi setibanya Rasulullah di "al-Rawha" Rasulullah menghantar balik Abu Lubabah bin al-Munzir untuk mengendalikan urusan pentadbiran Madinah.
Panji pimpinan
berwarna putih diserahkan kepada Mus'ab bin Umair al-Qurasyi al-Abdari, Baginda
membahagikan tentera kepada dua katibah (pasukan):
1. Katibah orang
Muhajirin benderanya diberi kepada Ali bin Abi Talib.
2. Katibah al-Ansar,
benderanya diberikan kepada Sa'd bin Muaz.
Sayap kanan diletakkan di bawah
pimpinan al-Zubair bin al-Awwam, sayap kiri pula di bawah pimpinan al-Miqdad bin
Umar, kedua-dua mereka ini adalah tentera berkuda di dalam tentera Islam ini.
Pemimpin barisan belakang ialah Quis bin Abi Sa'saah, pimpinan tertinggi masih
disandang oleh Baginda sebagai terus agong pimpinan tentera Islam.

TENTERA ISLAM BERGERAK KE ARAH BADAR
Rasulullah bergerak dengan
tenteranya yang tidak bersiap-sedia untuk berperang, sehingga keluarlah dari
kawasan al-Madinah, dan terus berjalan hingga ke jalan utama ke Makkah, hingga
sampai ke daerah al-Rawha, beberapa ketika setelah Baginda melintasi al-Rawha
Baginda tinggalkan jalan ke Makkah di sebelah kiri dan menyusur ke arah kanan
melalui al-Naziyah, ertinya Baginda bertala (menuju) ke Badar di situ Baginda
mengambil jalan ke Badar, darinya Baginda sampai ke lembah Jaza' yang dikenali
sebagai Rahqan, yang kira-kira terletak di antara al-Naziyah dan segenting
al-Safra', Baginda melintasi segenting al-Safra' itu, dari situ Baginda menjunam
hingga sampai ke al-Safra' dan darinya Baginda mengutus Basis Ibnu Umar
al-Juhani dan Adi bin Abi al-Zaghba' ke Badar untuk mengumpul maklumat mengenai
Kafilah Quraisy.

PEMBERITAHUAN KEPADA PENDUDUK DI MAKKAH
Pengedalian kafilah Quraisy ini sebenarnya di bawah tanggungjawab Abu Sufian
sepenuhnya, di mana beliau begitu berjaga dan amat berwaspada kerana beliau
menyakini jalan ke Makkah itu amat merbahaya, oleh yang demikian beliau sentiasa
menghantar pengintip-pengintip untuk memperolehi maklumat, selain dari itu
beliau selalu bertanya setiap musafir atau tunggangan yang beliau temui di
sepanjang perjalanannya itu. Tidak berapa lama kemudian beliau memperolehi
maklumat dari risikannya bahawa Muhammad s.a.w telah pun mengerah tenaga
sahabatnya untuk menawan kafilahnya, dengan segera Abu Sufian mengupah Dhamdham
bin Amru al-Ghifari ke Makkah, di sana Dhamdham melaung dan meminta bantuan
kepada pihak Quraisy untuk menghantar gerakan penyelamat kafilah mereka buat
menghalang Muhammad s.a.w dan sahabatnya daripada bertindak terhadap harta
mereka itu begitulah tindakan Dhamdham kepada Quraisy dari atas belakang
untanya, setelah memotong hidung untanya seterusnya beliau mengoyak bajunya
untuk dikibar-kibarkan kepada Quraisy sambil berteriak: Kalian Quraisy, celaka
dan celaka harta kamu bersama Abu Sufian itu, telah dihalang oleh Muhammad s.a.w
dan sahabat-sahabatnya, aku tak nampak kamu berkesempatan dengannya, tolong
tolonglah !!!

PENDUDUK MAKKAH BERSEDIA UNTUK BERPERANG
Semua
orang di Makkah bersiap dan bergerak dengan pantas dan mereka berkata: Apakah
Muhammad ingat kafilah kita itu seperti kafilah Ibnu al-Hadhrami? Dengan mudah
boleh direbut dari tangan kita? Tidak!! Demi Allah biar dia tahu bukan semudah
itu dia boleh bertindak. Pihak Quraisy bertindak samada keluar sendiri atau
menghantar penggantinya, untuk keluar mereka telah mengerah tenaga
habis-habisan, tidak seseorang pun dari pemuka mereka mengecualikan diri selain
dari Abu Lahab, namun beliau tetap menghantar pengantinya yang telah berhutang
dengannya. Selain dari itu, mereka juga mengerakkan kabilah-kabilah Arab di
sekeliling Makkah, semua puak turut keluar kecuali Banu Adi sahaja, di mana
tidak seorang pun dari mereka yang turut serta.