Sunday, May 20, 2007

JANGAN BERDUKACITA KERANA ALLAH MAHA MENGAMPUNI DAN MENERIMA TAUBAT

oleh: ezza - upsi

Salam ukhwah..salam pertemuan buat teman-teman. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi bicara hati dan mengimbau perjalanan sebuah kehidupan dalam mencari secebis ketenangan hakiki.

Tiada seindah harapan yang di cari kecuali penerimaan dari Ilahi. Teman-teman, menjerumuskan lagi diri ke lembah yang salah kerana putus asa pada kesilapan lalu bukanlah cara yang terbaik dalam mencari ketenangan hati. Hati tidak akan tenang selagi diri dihantui dosa dan kesilapan silam. Bukan tiada jalan menghapus sisa-sisa duka semalam, bukan tiada jalan memadamkan coretan palsu kelmarin, bukan tiada jalan mencari kesucian hati untuk hari ini, kembalilah padaNya kerana dia Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

Buat teman-teman, ambillah masa sejenak untuk bertelaku menghayati kurniaan diri, carilah hikmat disebalik kejadian yang diberi. Janganlah terlalu cepat putus asa dan menyalahkan diri. Hubungkanlah diri dengan Ilahi, gunakanlah mata hati yang tulus dan ikhlas dalam mendekatkan diri padaNya. Sesungguhnya tiada ketenangan yang mampu mengatasi kurniaan ketenangan dariNya.

Di bawah saya sertakan secebisan kata-kata supaya hati teman-teman dan katiku tidak gundah dan tidak berpaling dalam menginsafi masa lalu kerana kita tahu Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.
Khas buat teman-teman…

Allah s.w.t berfirman ertinya:
Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Wahai hamba-hamba Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.
(Surah Az-Zumar: 53)

Teman-teman, tidakkah firman Allah ini dapat melapangkan hati, menghilangkan keresahan, dan menghapuskan kebimbangan di hati kita.

Nampak jelas bahawa Allah sengaja menyapa manusia dengan kalimat “Wahai hamba-hambaKu.” Berkenaan dengan hikmahnya, sudah tentulah bertujuan menyatukan hati para hambanyaNya dan menyentuh perasaan mereka supaya mendengar ayat tersebut dengan baik. FirmanNya itu jelas menunjukkan bahawa telah dikhususkan kepada orang-orang yang melampaui batas. Hal itu dilakukan Allah kerana mereka merupakan golongan manusia yang paling sering berbuat dosa dan kesalahan. Oleh itu, bagaimana pula dengan kita yang juga sering berbuat dosa dan kesalahan.

Dalam ayat tersebut, Allah juga melarang hambaNya berputus asa dalam memohon ampunanNya. Allah memberitahu pula bahawa Dia akan mengampuni sesiapa sahaja yang bertaubat kepadaNya, sama ada dari dosa-dosa kecil ataupun dosa besar.
bersambung....

No comments: