Saturday, July 21, 2007

Enam Mangsa ditemui Terkorban


Enam mangsa ditemui terkorban



Laporan akhbar hari ini menyebut, semua enam pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter Nuri sejak Jumaat lalu, terkorban dengan pesawat itu ditemui terhempas di lurah bukit, kira-kira lima kilometer dari terowong Genting Sempah dekat sini, petang semalam.



Pesawat yang dipercayai menjunam sebelum terhempas di lurah sedalam lebih 200 meter itu, ditemui sepasukan lapan anggota Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dari Kem Terendak, Melaka pada jam 1.24 petang.



Difahamkan, helikopter itu tidak terbakar tetapi kipasnya tertanggal manakala empat mayat mangsa ditemui di dalam bangkai pesawat berkenaan, manakala dua lagi di luar.
Bagaimanapun, sehingga operasi dihentikan jam 8 malam tadi, jenazah semua mangsa masih gagal dikeluarkan berikutan cuaca buruk dan hutan tebal.



Selain juruterbang pesawat itu, Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, dan pembantunya, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, empat lagi mangsa dikenali Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin, 34, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, 35, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.



Ketika kejadian itu, semua mangsa dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan. Pesawat itu berlepas jam 9.25 pagi sebelum dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan 10 minit kemudian ketika berada udara Gombak.



Pasukan mencari dan penyelamat yang menemui pesawat berkenaan pada operasi hari kelima semalam, sebelum itu turut menghadapi kesukaran menghantar isyarat berikutan cerun terlalu curam.



Isyarat asap pelbagai warna yang dilepaskan dikatakan tidak dapat dikesan beberapa pesawat peninjau termasuk Nuri serta helikopter bomba dan polis akibat kabus tebal.



Rekod Nuri terhempas sejak 1969



Berikut ialah antara rekod kejadian pesawat Nuri terhempas sebelum ini sekurang-kurangnya 13 kemalangan dan 73 orang terkorban yang melibatkan helikopter Nuri.


1969 – Nuri terhempas di Sarawak. 4 anggota TUDM terkorban


1976 – Nuri ditembak pengganas komunis dan terhempas di Gubir, Kedah. 11 anggota tentera terbunuh.


1980 – Beberapa kejadian Nuri terhempas dilaporkan di Perak. Tiada yang terkorban.


1981 – Nuri terhempas di Kuching. 2 anggota TUDM terkorban, 13 yang lain cedera.


1981 – Nuri terhempas di Batu Melintang, Perak. 4 anggota TUDM cedera.


1989 – Nuri terhempas antara Gunung Gerah dan Gunung Bilah di sempadan Kelantan - Perak. 21 orang terkorban.


1989 – Nuri mendarat cemas di Felda Sendayan, Seremban. Tiada kecederaan dilaporkan.


1989 – Nuri terhempas di Lundu, Sarawak. 16 anggota tentera terkorban.


1996 – Nuri terhempas ke dalam laut berdekatan Muka Head, Pulau Pinang. 2 juruterbang terkorban, 3 anggota TUDM hilang.


1997 – 2 helikopter Nuri terhempas selang beberapa minit di Sipitang, Sabah. 8 anggota tentera terkorban.


2004 – Nuri terhempas di Butterworth. 2 anggota TUDM terkorban, 1 orang cedera.


2004 – Nuri terhempas di pergunungan Long Seridan, Sarawak. 3 anngota TUDM terkorban, 7 cedera.


2006 – Nuri mendarat cemas di sebuah kawasan lapang di Kuala Sedaka. - mks.

No comments: