Thursday, July 12, 2007

Kewajipan Melaksanakan Hukuman Qisas


Kewajipan melaksanakan hukuman qisas

FIRMAN Allah yang bermaksud; Oleh kerana itu Kami tetapkan (sesuatu hukum) ke atas Bani Israel, iaitu barang siapa membunuh seorang manusia bukan kerana ia membunuh orang lain atau bukan kerana melakukan sesuatu kerosakan di bumi, maka seolah-olah ia telah membunuh manusia seluruhnya dan barang siapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka seolah-olah ia memelihara nyawa manusia seluruhnya.


Sesungguhnya rasul-rasul Kami telah datang kepada mereka membawa pengajaran-pengajar an yang jelas kemudian ramai di antara mereka sesudah itu menjadi manusia-manusia pelampau di muka bumi. (al-Maidah: 32)


Huraian

Oleh kerana berlakunya banyak pencerobohan, pembunuhan dan pemerasan hak maka Allah Yang Maha Kuasa yang mengetahui keadaan dan perilaku manusia, menetapkan hukuman qisas yang perlu dilaksanakan, iaitu hukuman balas kepada orang yang melakukan pembunuhan dengan sengaja.
Hukuman ini sebenarnya telah dikuatkuasakan ke atas Bani Israel di dalam syariat yang ditetapkan kepada mereka.


Di dalam Islam, perbuatan bunuh adalah satu dosa besar. Membunuh seorang yang lain seolah-olah menyamai perbuatan membunuh seluruh manusia. Tindakan menyelamatkan satu nyawa seolah sama seperti menyelamatkan nyawa seluruh umat manusia.
Hukuman qisas yang wajib dilaksanakan ini mempunyai kesan besar dalam membentuk dan mempertahan hak asasi manusia kerana ia mencegah pembunuhan yang dilakukan dengan sewenangnya oleh orang lain. Ia mempertahankan maruah manusia, mengawal dan membentuk keamanan dan ketenteraman hidup.


Allah merakamkan dalam ayat di atas kecaman terhadap Bani Israel yang ingkar dalam melaksanakan suruhan Allah s.w.t. dalam bentuk peraturan dan penguatkuasaan undang-undang, Rasul yang didatangkan kepada mereka, mereka hinakan dan rendahkan.
Sikap yang melampaui batas mereka adalah contoh sikap degil golongan yang mengingkari perintah dan suruhan Allah s.w.t.


Kesimpulan

Allah yang mencipta manusia, mengetahui perilaku dan sifat manusia, telah menetapkan hukuman qisas untuk membendung salah laku dalam jenayah pembunuhan yang dilakukan manusia.


Sikap Bani Israel yang mengingkari perintah Allah merupakan sikap manusia yang dimurkai Allah s.w.t.
Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments: